Komoditi hitam didagangkan stabil ketika tumpuan pelabur beralih kepada mesyuarat OPEC yang akan memutuskan mengenai pengeluaran minyak mentah seterusnya.
Penemuan pertama kes varian Omicron di Amerika Syarikat pada Rabu, telah membuatkan pasaran minyak kembali dalam kebimbangan. Namun, ia kemudiannya sedikit mereda berikutan laporan yang mengatakan varian tersebut hanya menyebabkan gejala dan penyakit yang lebih ringan.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak Brent diniagakan meningkat pada $69.70 setong setelah merosot 0.7% pada sesi sebelumnya. Sementara WTI Amerika Syarikat pula sedikit menokok pada $66.34 setong susulan kejatuhan 0.9% sebelum ini.
Kedua-dua penanda aras berada di bawah tekanan sejak beberapa minggu kebelakangan ini berikutan kebimbangan terbaru terhadap varian coronavirus Omicron dan keputusan Amerika Syarikat untuk mengeluarkan bekalan minyak dari rizab kecemasannya yang turut diikuti oleh negara lain.
Sementara itu, OPEC dan sekutunya, OPEC+ akan memulakan pertemuan jawatankuasa pemantauan pada hari ini. Para pengeluar utama dunia berkemungkinan akan memutuskan sama ada akan mengeluar lebih banyak minyak ke pasaran atau menahannya disebabkan ancaman terbaru varian Omicron.