Senat Kanada meluluskan rang undang-undang belanjawan yang dicadangkan Perdana Menteri Justin Trudeau sebagai langkah terakhir beliau untuk memperluaskan sokongan Covid-19 pada musim panas atau mungkin menjelang pilihan raya pada September.
Rang undang-undang C-30 yang diluluskan merupakan belanjawan pertama Kanada dalam tempoh lebih dua tahun.
Ia merangkumi peluasan program bantuan utama, seperti subsidi gaji untuk membantu majikan membayar pekerja dan sokongan untuk membantu perniagaan membayar sewa mereka.
Namun begitu, kelulusan ini gagal merangsang kenaikan dolar Kanada, sebaliknya ia terus didagangkan lebih lemah di paras terendah satu minggu berbanding US dolar pada sesi Asia.
Kelemahan ini didorong oleh kebimbangan pasaran terhadap penularan varian Delta Covid-19 yang semakin meluas dan mengancam perdagangan global serta membebankan dagangan komoditi.
Sentimen berisiko dalam pasaran memberi peluang kepada dolar greenback untuk meraih keuntungan sebagai safe-haven dan melemahkan dagangan matawang utama.