Greenback didagangkan stabil pada sesi Eropah, ketika tumpuan pasaran beralih kepada penerbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dan tuntutan pengangguran pada malam ini sementara menantikan simposium Jackson Hole.
Berbanding kebanyakan matawang utama, indeks dolar sedikit meningkat pada 92.95, tetapi kekal didagangkan di sekitar paras terendah satu minggu.
Pertumbuhan ekonomi AS pada suku kedua dijangka akan menunjukkan sedikit peningkatan pada 6.7% berbanding bacaan awal yang dikeluarkan sebelum ini pada 6.5%.
Sementara jumlah tuntutan pengangguran AS pula diunjur akan terus mempamerkan penurunan pada minggu lepas, seiring dengan pemulihan yang dipaparkan dalam pasaran pekerjaan.
Dalam pada itu, perkembangan mengenai wabak coronavirus masih menjadi tumpuan pelabur, yang menyaksikan pergerakan dagangan dolar Aussie terbatas susulan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Australia.
Matawang euro sedikit berubah pada 1.1760 berbanding USD, mengabaikan data iklim pengguna dan perniagaan Jerman yang rendah, dengan fokus pelabur terarah pada penerbitan laporan minit mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) malam ini.
Dagangan pound sterling sedikit merosot pada 1.3730 berbanding dolar greenback, ketika pelabur terus mengikuti perkembangan mengenai peningkatan baru dalam kes coronavirus di UK.
Di sisi lain, dolar Kanada kekal stabil dengan didagangkan lebih tinggi berikutan pengukuhan harga minyak mentah yang telah menghapuskan sebahagian besar kerugian yang dicatatkan pada minggu lepas.