Matawang pound sedikit susut ketika pasaran menuju penutupan dagangan Mei, dengan mencatatkan penurunan sederhana pada awal sesi Eropah.
Pound sterling berusaha untuk menutup sesi dagangan bulan ini dengan lebih kukuh setelah melonjak sekitar 2.6% berbanding dolar, didorong oleh prospek terhadap pemulihan ekonomi yang lebih kuat di UK susulan kemajuan dalam program vaksinasi.
Setelah separuh daripada penduduk UK menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, pasaran semakin optimis bahawa langkah penutupan akan diangkat sepenuhnya pada 21 Jun, seperti yang dirancangkan oleh kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson sebelum ini.
Malah, ucapan pembuat dasar Bank Pusat England (BOE), Gertjan Vlieghe pada Khamis lalu mengenai kenaikan kadar faedah, turut menyuntik semangat kepada matawang pound untuk terus didagangkan mengukuh.
Sementara itu, sentimen pasaran masih berpihak kepada kebanyakan matawang utama selepas pelabur mengabaikan bacaan data dari Amerika Syarikat yang telah mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi dan memberi sokongan sementara buat US dolar.
Setelah meneliti data inflasi yang dikeluarkan pada Jumaat dengan lebih mendalam, para pelabur nampaknya masih yakin bahawa Federal Reserve (Fed) akan mengekalkan dasar monetari yang sangat longgar untuk jangka masa lebih lama.
Dolar greenback terus didagangkan di sekitar tahap yang sama berbanding sekumpulan matawang utama, di tengah-tengah penutupan bank-bank di AS dan UK, sekali gus membataskan pergerakan matawang dalam pasaran.
Bagaimanapun, menjelang akhir dagangan Mei, pengambilan untung oleh pelabur boleh berlaku dan menyebabkan matawang US dolar untuk kembali meningkat.