Selain matawang euro, dolar greenback turut menjadi tumpuan utama para pelabur menjelang penerbitan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada sesi New York.
Ekonomi AS dijangka akan menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada suku ketiga kerana terkesan dengan varian Delta dan kekangan rantaian bekalan global yang hampir membantutkan perbelanjaan pengguna.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dijangka meningkat 2.7% pada suku ketiga, setelah mencatatkan pengembangan 6.7% pada suku sebelumnya.
Pada sesi Eropah, indeks dolar didagangkan stabil pada 93.88 berbanding sekumpulan matawang utama.
Sementara hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula susut lebih rendah pada tahap 1.54%, menyebabkan pergerakan dolar greenback terbantut dan terus berlegar di sekitar harga yang sama.
Dalam pada itu, dolar Aussie diniagakan lebih kukuh di sekitar paras ketinggian tiga bulan yang disokong oleh lonjakan hasil bon Australia ke tahap tertinggi sejak pertengahan 2019 selepas bank pusat tidak membeli bon seperti yang diharapkan pelabur pada hari ini.
Minggu lepas Bank Pusat Australia (RBA) telah membeli bon kerajaan untuk menolak hasil kembali di bawah 0.17%. Hari ini, bank pusat sepatutnya membeli bon lagi tetapi tidak ada berita mengenai pembelian tersebut, dan ini sekali gus mendorong hasil bon ke tahap 0.5%.