Jualan pembuatan Malaysia terus pamerkan kenaikan untuk meningkat sebanyak 37.2% dari tahun ke tahun kepada RM122.7 bilion yang dicatatkan pada Mei 2021.
Namun jika ingin dibandingkan dengan bulan sebelum ini, nilai penjualan telah menurun sebanyak 6.1% menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua perangkaan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan nilai jualan yang ketara disokong oleh kenaikan subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (+48.7%), terutama dalam pembuatan produk coke dan produk penapisan.
Menurut beliau lagi, peningkatan ini juga dipengaruhi oleh pertumbuhan subsektor produk elektrik dan elektronik (+31.0%), yang disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan industri optik.
Beliau juga menambah bahawa subsektor peralatan pengangkutan dan produk pembuatan lain juga mencatatkan kenaikan 59.5% terutamanya dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi-treler.
Daripada segi pekerjaan, Mohd Uzir mengatakan bahawa jumlah pekerja di sektor pembuatan pada Mei 2021 meningkat 28.2% dari tahun ke tahun kepada 2.24 juta orang berbanding 2.16 juta orang pada Mei 2020.
Gaji dan upah yang dibayar juga meningkat sebanyak 6.4% kepada RM7.42 bilion pada bulan tersebut dengan purata gaji dan upah setiap pekerja adalah RM3,316.
Sementara itu, nilai jualan setiap pekerja meningkat 33.4% kepada RM54,875 berbanding RM41,136 yang dicapai pada tempoh sama tahun lalu.