Kaunter saham berkaitan teknologi terutamanya syarikat pengeluar semikonduktor, terus melonjak pada hari pertama sesi dagangan selepas cuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Pada pukul 11.30 pagi, saham di Vitrox Corp Bhd, Genetec Technology Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI), KESM Industries Bhd dan Pentamaster Corp Bhd merupakan antara kaunter tempatan paling tinggi mencatatkan keuntungan hari ini.
Saham di Vitrox didagangkan pada paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM17.88, selepas melonjak sebanyak 3.47% atau 60 sen.
Kaunter berkenaan merupakan kaunter keempat paling untung hari ini. Pada harga semasanya, nilai pasaran Vitrox direkodkan sebanyak RM8.44 bilion.
Pada masa yang sama, saham MPI juga didagangkan pada paras tertinggi sepanjang masa.
Saham MPI meningkat sebanyak 1.19% atau 46 sen, sekali gus menjadikannya kaunter keenam tertinggi yang mencatatkan keuntungan pagi tadi.
Selain itu, saham MPI didagangkan pada RM39.06 per saham dan nilai pasarannya dicatatkan sebanyak RM8.2 bilion.
Dalam pada itu, saham KESM melonjak sebanyak 1.92% atau 32 sen kepada RM16.98 per saham, sekali gus mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh dua tahun setengah.
KESM kini merekodkan nilai pasarannya sebanyak RM729.53 juta.
Mengikuti jejak langkah Vitrox dan MPI adalah Pentamaster apabila turut mencatatkan paras tertinggi sepanjang masa pada sesi dagangan hari ini.
Saham Pentamaster berada pada kedudukan ke-13 dalam senarai kaunter untung hari ini selepas merekodkan lonjakan sebanyak 4% atau 27 sen kepada RM6.76 per saham.
Tidak terkecuali, saham Genetec juga mencatatkan paras tertinggi sepanjang masa selepas meningkat sebanyak 12.42% atau 59 sen kepada RM5.34. Nilai pasarannya kini direkodkan sebanyak RM238.87 juta.
Daripada perspektif indeks, Indeks Teknologi Bursa Malaysia adalah indeks kedua tertinggi yang mencatatkan prestasi baik pada sesi dagangan hari ini apabila merekodkan lonjaka sebanyak 1.95% atau 1.71 mata kepada 89.38.
Sektor semikonduktor berdepan masalah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini berikutan permintaan yang terlalu tinggi untuk cip komputer sejak permulaan pandemik Covid-19, menyebabkan pembekal cip sukar untuk memenuhi permintaan pasaran.