Harga emas menyusut pada sesi Asia berikutan pengukuhan yang dipaparkan oleh dolar greenback ketika tumpuan pasaran kini terarah kepada penerbitan laporan pekerjaan NFP AS pada hari Jumaat.
Pada sesi Asia, spot emas diniagakan susut di sekitar harga $1,775 per auns, tidak jauh dari paras terendah tujuh minggu yang dicapainya sebelum ini.
US dolar terus didagangkan lebih kukuh dibantu oleh permintaan terhadap safe haven yang meningkat berikutan kekhuatiran mengenai penularan coronavirus yang meningkat di beberapa negara, terutamanya di Asia.
Situasi ini sepatutnya turut memberi keuntungan buat dagangan emas. Namun, kebimbangan bank pusat AS akan mengetatkan dasar monetarinya lebih cepat daripada dijangkakan menyebabkan dagangan logam berharga itu terbantut.
Pasaran masih lagi menilai isyarat bercampur-campur dari para pembuat dasar Federal Reserve (Fed) mengenai waktu yang sesuai untuk menaikkan kadar faedah dan mengurangkan pembelian bon.
Emas juga gagal memanfaatkan peluang untuk meningkat daripada kemerosotan yang dicatatkan hasil perbendaharaan pada sesi sebelum ini yang kembali susut di bawah tahap 1.50%.