Komoditi hitam melonjak lebih tinggi pada awal minggu, ketika pasaran minyak terus ditekan kekangan bekalan dari pengeluar utama dan permintaan bahan bakar global yang semakin meningkat.
Menuju ke sesi Eropah, kedua-dua penanda aras diniagakan di atas $80 setong, dengan dagangan minyak mentah Brent menokok 1.4% kepada $83.57 setong.
Sementara niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula melonjak sekitar 1.8% kepada $80.83 setong, tahap tertinggi pernah dilihat sejak akhir 2014.
Dengan lebih banyak sekatan coronavirus dibuka semula, permintaan terhadap bahan bakar global yang semakin meningkat telah memacu peningkatan harga, di mana Brent telah meningkat selama lima minggu dan WTI AS pula menokok selama tujuh minggu.
Terbaru, Malaysia telah mengumumkan pelonggaran sekatan dengan memberi kebenaran untuk merentas negeri dan ke luar negara. Berita baik ini pastinya akan meningkatkan lagi permintaan terhadap bahan bakar di Asia.
Selain itu, pengukuhan emas hitam juga disokong oleh harga bahan bakar seperti arang batu dan gas asli yang melonjak berikutan bekalan tenaga yang rendah menjelang musim sejuk. Ini menyebabkan pengguna beralih kepada produk tenaga lain.