Seperti dijangkakan, hasil daripada pertemuan Reserve Bank of Australia (RBA) pada hari ini berakhir dengan kadar faedah dan sasaran hasil bon kerajaan 3 tahun kekal tidak berubah pada 0.10%.
RBA terus mengulangi komitmennya untuk kekal dengan dasar akomodatif selama diperlukan untuk membantu mengurangkan pengangguran dan mendorong inflasi lebih tinggi, menandakan kadar faedah akan kekal di tahap semasa sehingga sekurang-kurangnya 2024.
Namun, dalam pernyataan susulan, Gabenor Philip Lowe mengatakan bahawa para pembuat dasar akan mempertimbangkan pembelian bon akan datang pada mesyuarat polisi sesi Julai, setelah selesainya program pelonggaran kuantitatif A$100 bilion kedua.
Dalam pada itu, bank pusat juga meningkatkan unjuran terhadap pertumbuhan ekonomi Australia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan meningkat 4.75% pada tahun 2021 daripada 3.5% yang diramalkan sebelum ini.
Sementara kadar pengangguran pula dilihat menurun ke sekitar tahap 5% pada hujung tahun ini dan 4.5% pada Disember 2022. Terdahulu, RBA meramalkan pengangguran turun 5.5% pada akhir 2022.
Kadar inflasi pula dijangka berada pada 1.5% tahun ini, dan meningkat kepada 2% pada pertengahan 2023.
Walaupun dengan jangkaan optimis daripada bank pusat, namun, dolar Aussie gagal meraih manfaat untuk mencatatkan peningkatan. Ini kerana, bank pusat juga membuka peluang untuk pelonggaran lebih lanjut jika perlu.
Selain itu, dolar Aussie turut terkesan dengan sentimen pasaran yang kembali berisiko disebabkan kebimbangan terhadap situasi Covid-19 di Asia, dan pengukuhan semula dolar greenback.