Dagangan komoditi hitam melonjak lebih tinggi selepas menyaksikan kejatuhan lebih besar dari jangkaan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat yang dilaporkan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA).
Inventori minyak mentah AS tanpa dijangka mencatatkan kejatuhan ketara sebanyak 8 juta tong pada minggu yang berakhir pada 31 Disember, melebihi jangkaan penurunan 2.1 juta tong.
Laporan ini menguatkan lagi dagangan minyak mentah untuk meningkat lebih tinggi di sekitar tahap tertinggi 11 bulan pada sesi Asia hari ini, di mana niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat sebanyak 40 sen kepada $54.70 setong. Sementara WTI Amerika Syarikat pula menokok 43 sen kepada $51.06 setong.
Komoditi itu sebelum ini telah meraih pengukuhan susulan pengumuman Arab Saudi untuk melakukan pengurangan pengeluaran minyak mentah secara sukarela sebanyak 1 juta tong sehari pada bulan Februari dan Mac.
Langkah itu juga meyakinkan pengeluar lain untuk mengekalkan pengeluaran minyak mentah tidak berubah dan membolehkan Rusia dan Khazakhstan untuk meningkatkan pengeluaran.
Harga minyak kekal stabil walaupun dengan ketidakpastian politik di Amerika Syarikat susulan pencerobohan penyokong Presiden Donald Trump di Capitol Hill pada hari Rabu ketika proses pengesahan pemenang pilihan raya sedang berlangsung.