Pembukaan sesi Eropah menyaksikan dagangan emas yang kembali meningkat selepas susut rendah, dengan spot emas diperdagangkan positif di sekitar harga $1,745 per auns.
Dengan penyusutan US dolar dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang lebih rendah, dagangan emas terus meraih sokongan untuk meningkat tinggi menuju ke paras harga $1,750 per auns.
Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang bercakap di Economic Club of Washington pada awal pagi Khamis, memberitahu bahawa bank pusat AS akan mengurangkan pembelian bulanan bonnya sebelum melakukan kenaikan kadar faedah.
Ini menunjukkan dasar monetari semasa yang longgar akan terus berlaku seperti yang diberitahu oleh Fed sebelum ini bahawa kadar faedah akan kekal sehingga sekurang-kurangnya akhir 2022.
Faktor ini turut menyokong harga logam kuning emas untuk meningkat tinggi pada awal sesi Eropah.
Tumpuan pelabur kini terarah kepada penerbitan data tuntutan pengangguran dan jualan runcit AS bagi bulan Mac untuk mendapatkan petunjuk mengenai pemulihan ekonomi terbesar di dunia itu.
Menurut penganalisis, kenaikan perbelanjaan yang ketara dalam jualan runcit boleh memacu penurunan buat logam berharga emas dalam jangka pendek.