Siapa sangka, iklan pembelian Bitcoin (BTC) akhirnya mengundang padah!
Platform perdagangan kripto, Luno pada hari ini diarahkan untuk mengubah iklan yang terpampang di seluruh rangkaian pengangkutan London setelah didapati mengelirukan oleh pihak penyelia iklan United Kingdom (UK).
Iklan tersebut memaparkan imej Bitcoin berserta mesej: ‘If you’re seeing Bitcoin on the Underground, it’s time to buy’ (Jika anda nampak Bitcoin berada di bawah, masa untuk membelinya).
Jelas penyelia, iklan daripada Luno menunjukkan pelaburan bitcoin adalah mudah dan senang diakses sedangkan secara faktanya, ia sangat kompleks dengan harganya yang tidak menentu. Disebabkan ciri tersebut, pelabur yang tiada pengalaman berpotensi untuk rugi serta-merta.
“Disebabkan itu pihak kami percaya iklan Luno boleh mengundang salah faham,” jelas Advertising Standards Agency (ASA) yang menerima tiga aduan berkaitan iklan tersebut.
Pihak Luno sudah pun bersetuju untuk menukar iklan yang dipampang dan akan menukarkan dengan mesej yang lebih jelas terutama adanya risiko dalam pelaburan kripto.
Platform Luno memiliki 7 juta pengguna seluruh dunia dan merupakan subsidiari Digital Currency Group (DCG), firma besar yang memiliki CoinDesk.
Kalaulah anda perasan, mesej Luno sebenarnya nak bagitahu, “buy the dip”. Betul kan?