Kedudukan emas di atas harga $1,800 tidak bertahan lama selepas logam berharga itu sekali lagi menjunam lebih rendah disebabkan peningkatan dalam hasil perbendaharaan Amerika Syarikat.
Kenaikan mendadak dalam hasil bon telah memberi dorongan kepada US dolar untuk meningkat pada sesi New York, menyebabkan emas yang hilang arah tuju, jatuh lebih rendah sehingga mencecah harga $1,783 per auns.
Penanda aras hasil perbendaharaan AS 10 tahun melonjak menghampiri paras tertinggi hampir satu tahun pada 1.417%.
Namun begitu, kenaikan dolar greenback terhenti setelah ditekan oleh kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang mengulangi keterangan beliau di hadapan jawatankuasa Dewan Perwakilan dengan mengatakan bank pusat tidak akan mengubah dasar monetari semasa sehingga terdapat peningkatan jelas dalam ekonomi.
Ini telah memberi peluang buat dagangan emas untuk meningkat semula, namun kenaikan yang dicatatkan malangnya terbatas menyebabkan logam berharga itu kekal didagangkan di bawah $1,800.
Pada sesi Asia, spot emas didagangkan susut di sekitar harga $1,797 per auns, sementara niaga hadapan emas $1,795 per auns (12.15 tengah hari waktu Malaysia).