Ekonomi Malaysia diunjur pulih pada tahun ini dengan pertumbuhan sekitar 5.2% hingga 5.9%, demikian menurut AmBank Research hari ini.
Dalam nota penyelidikannya, firma tersebut berkata, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan global, langkah-langkah bantuan rangsangan, usaha membendung penularan Covid-19 serta pelaksanaan langkah vaksinasi.
Jumlah pelaburan secara keseluruhannya juga diunjur meningkat dengan prospek sama turut dialami sektor-sektor utama dalam ekonomi, katanya.
“Oleh itu, peningkatan perbelanjaan modal dijangka berlaku pada tahun ini. Bagaimanapun, pertumbuhan bagi 2021 akan dijejaskan oleh peningkatan kes Covid-19 serta pelaksanaan langkah kawalan pergerakan pada Januari,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Menurut AmBank Research, impak yang dapat dilihat pada suku pertama tahun ini bagaimanapun kurang ketara berbanding kesan pelaksanaan kawalan pergerakan pada April tahun lalu.
“Namun, kami masih bimbangkan keadaan perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Atas alasan itu, KDNK tahun penuh 2021 dijangka sekitar 5.2% hingga 5.9%,” ujarnya.
AmBank Research berkata, seperti dijangkakan, KDNK susut pada suku keempat 2020, prestasi lebih rendah pada suku sebelumnya akibat peningkatan kes Covid-19 dan langkah kawalan bagi membendung penularannya.
Penguncupan KDNK suku keempat 2020 pada 3.4% bagi tahun ke tahun sememangnya dalam jangkaan firma penyelidikan berkenaan iaitu sekitar -3.2% dan -3.5% berikutan semakan semula -2.6% tahun ke tahun bagi suku ketiga 2020.
“Berikutan pertumbuhan negatif bagi tiga suku berturut-turut dengan (angka) terbesar pada suku kedua 2020 pada -17.1% tahun ke tahun, KDNK bagi tahun penuh susut 5.6% yang merupakan peningkatan daripada unjuran kami pada -5.5%,” katanya.
Ini merupakan penguncupan terbesar pernah dicatatkan berbanding -7.4% sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998.
Selain itu, penurunan nominal KDNK sebanyak 6.3% itu juga disebabkan oleh impak deflasi.