Pasukan penyelam Indonesia dijangka meneruskan pencarian kotak hitam pesawat Sriwijaya Air Boeing 737 yang terhempas pada Sabtu lalu.
Pesawat berkenaan yang membawa 62 penumpang dalam perjalanan ke Borneo itu hilang dari radar sejurus berlepas.
Lapor Reuters, pasukan pencarian telah menemukan bangkai pesawat dan mayat mangsa.
Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia telah mengesan lokasi sebenar kotak hitam terbabit dan memulakan usaha pencarian bagi mendapatkan maklumat sebenar kejadian berkenaan.
Menurut penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Nurcahyo Utomo, pihaknya berharap kotak hitam itu akan dijumpai hari ini.
Tambahnya, pesawat itu hancur apabila terhempas di dalam air berdasarkan kepada lokasi penemuan bangkai yang ditemui setakat ini.
Sriwijaya Air berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta pada pukul 2.36 petang waktu tempatan pada Sabtu lalu.
Selang beberapa minit kemudian, pada pukul 2.40 petang, pesawat itu hilang dari radar dan terputus hubungan.
Menurut laman web penjejakan pesawat, Sriwijaya Air dilaporkan terhempas daripada paras ketinggian lebih 3,000 meter dalam tempoh kurang seminit.
Saksi-saksi kejadian menyatakan mereka melihat dan mendengar bunyi letupan sewaktu pesawat itu terhempas.