Kerajaan UK mengatakan hubungannya dengan Kesatuan Eropah (EU) telah ‘bermasalah’ sejak Brexit selesai pada akhir tahun lalu, terutamanya perselisihan mengenai isu-isu termasuk vaksin, perdagangan dan Ireland Utara.
Ketua Perunding Brexit UK, David Frost menyatakan harapannya untuk menangani isu ini walaupun ia memerlukan semangat yang berbeza.
Frost, yang merundingkan perjanjian perdagangan bebas dengan EU bagi pihak Britain, memberitahu bahawa kritikan EU terhadap pendekatan UK dalam pelaksanaan vaksinnya, isu sempadan Ireland Utara, dan misi diplomatik adalah merupakan antara masalah utama yang menjadi ketidakpastian antara kedua-dua pihak sekarang.
Frost mengatakan EU masih menyesuaikan diri dengan Britain yang benar-benar bebas di kawasan mereka.
Sementara itu, Menteri Pejabat Kabinet Michael Gove pula menyamakan situasi ini dengan pergolakan yang dialami oleh pesawat ketika berlepas, sebelum memasuki penerbangan yang stabil.
Gove dijadualkan bertemu dengan Wakil Presiden Suruhanjaya Eropah, Maros Sefcovic pada hari Khamis untuk membincangkan masalah Brexit yang berkaitan dengan Ireland Utara, dan telah meminta pelanjutan tempoh untuk perdagangan yang meliputi wilayah tersebut.