Peningkatan dalam hasil perbendaharaan AS jangka panjang sedikit sebanyak memberi sokongan buat dagangan matawang US dolar mencatatkan peningkatan pada awal sesi Eropah.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan meningkat pada 91.14.
Kenaikan dolar greenback ini telah didorong oleh peningkatan dalam hasil perbendaharaan AS 30 tahun yang mencecah paras 2% buat pertama kali dalam tempoh hampir satu tahun.
Sementara penanda aras hasil bon AS 10 tahun pula meningkat lebih tinggi pada 1.18%, dan ini sekali gus menyokong peningkatan harga buat US dolar berbanding yen Jepun.
Bagaimanapun, kebimbangan pasaran terhadap pertumbuhan ekonomi AS yang lemah, masih lagi menekan harga daripada meningkat lebih tinggi.
Sementara itu bagi matawang Eropah, pound sterling menokok lebih tinggi dengan pergerakan harga menuju ke tahap tertinggi lebih dua tahun yang dicapainya pada minggu lepas. Namun peningkatan agak terbatas berikutan dolar greenback yang kembali meningkat.
Kempen vaksinasi di UK terus berjalan dengan pesat, di mana negara ini telah menyuntik lebih dari 12 juta rakyatnya. Perdana Menteri Boris Johnson pula dilaporkan akan mengumumkan rancangan untuk mengurangkan sekatan pada bulan ini.
Dagangan euro pula cuba bertahan di atas paras harga 1.20000 berbanding US dolar yang mula mempamerkan kenaikan pada awal sesi.