Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+ mencapai kata sepakat untuk secara beransur-ansur meredakan pemotongan pengeluaran minyaknya mulai bulan Mei.
Arab Saudi merancang untuk mengurangkan pemotongan sukarelanya yang berjumlah 1 juta tong sehari, dengan meningkatkan pengeluarannya sebanyak 250,000 tong sehari pada Mei, 350,000 pada Jun dan 400,000 pada bulan Julai.
Sementara negara-negara anggota OPEC+ yang lain pula akan meningkatkan pengeluaran secara berperingkat iaitu sebanyak 350,000 tong sehari pada bulan Mei dan Jun dan 450,000 pada Julai.
Walaupun OPEC+ akan mula meningkatkan pengeluaran pada bulan depan, tetapi pasaran minyak mentah nampaknya menerimanya dengan positif.
Pada awal sesi Asia, WTI Amerika Syarikat melonjak 3.5% kepada $61.24 setong, sementara dagangan minyak mentah Brent pula menokok 3% pada $64.65 setong
Pasaran minyak mentah menyambut baik berita ini selepas OPEC+ menyatakan bahawa keputusannya adalah langkah konservatif yang dapat diubah pada pertemuan berikutnya dan mereka juga menjangkakan permintaan global akan meningkat.
Kenaikan ini juga turut disokong oleh dagangan US dolar yang lemah, menyebabkan minyak mentah lebih murah bagi pemegang matawang utama lain.