US dolar terus memberi kejutan buat para pelabur pada minggu ini selepas menyaksikan pergerakan turun naik nilai yang ketara dipengaruhi oleh beberapa faktor utama dalam pasaran.
Selepas mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis semalam membuatkan US dolar mengalami penyusutan yang ketara, jangkaan untuk US dolar terus bergerak lemah meleset apabila raja mata wang itu mengukuh semula pada sesi Eropah semalam sehingga bersambung ke sesi New York.
Ini adalah disebabkan oleh lonjakan pada hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) sehingga mencecah paras 1.756% sebelum susut sedikit namun masih berlegar di atas paras 1.70%.
Situasi ini dilihat kembali memberi tekanan terhadap mata wang utama yang lain dalam pasaran yang sebelum ini mencatatkan peningkatan.
Mata wang Eropah kembali didagangkan susut seperti Euro dan Pound. Tumpuan turut terarah pada mesyuarat polisi bank pusat England (BOE) semalam yang menyaksikan kadar faedah dikekalkan serta program pembelian bon dikekalkan pada £895 bilion seperti yang dijangkakan pasaran.
Perkembangan vaksin di Eropah, agensi perubahan Eropah telah memaklumkan bahawa vaksin Coronavirus AstraZeneca adalah selamat digunakan, meredakan kebimbangan terhadap spekulasi kesan sampingan darah beku yang dilaporkan sebelum ini.
Beberapa negara yang menangguhkan program vaksinasi sebelum ini telah mengumumkan untuk meneruskan semula suntikan vaksin dalam tempoh terdekat.
Sesi Asia pagi Jumaat akan memberi tumpuan terhadap keputusan mesyuarat polisi oleh Bank of Japan (BOJ) selepas sebelum ini bank pusat memberi petunjuk untuk polisi yang lebih longgar dan bakal mempengaruhi pergerakan Yen dalam pasaran.