Data ekonomi UK menambah kekecewaan buat dagangan matawang pound pada sesi Eropah dengan membenamnya ke paras terendah terbaru sejak Disember 2020.
Pejabat Statistik Negara (ONS) melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 1.3% pada suku ketiga 2021 daripada 5.5% yang dicatatkan pada suku sebelumnya, dan juga jatuh di bawah jangkaan pasaran untuk pertumbuhan 1.5%.
Ini sekali gus mendorong matawang pound yang sebelum ini telah tertekan dengan pengukuhan USD dan Bank Pusat England (BOE) yang dovish, untuk turun lebih rendah pada sesi dagangan hari ini.
Ekonomi UK telah menyusut hampi 10% pada 2020 tetapi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ia berada di landasan yang betul untuk mencatat pertumbuhan terpantas berbanding negara G7 yang lain dengan ramalan untuk meningkat sebanyak 6.8%.
Bagaimanapun, pemulihan yang pantas itu telah dibantutkan oleh kebangkitan semula Covid-19 disebabkan penularan varian delta yang sangat mudah merebak. Ia juga turut dipengaruhi oleh masalah rantaian bekalan global dan kekurangan pekerja selepas Brexit.
Pada minggu lalu, BOE mengatakan pertumbuhan ekonomi baru-baru ini lebih lemah daripada dijangkakan dan ia akan memerhatikan keadaan dalam pasaran buruh selepas skim perlindungan pekerjaan kerajaan berakhir pada 1 Oktober.
Sementara itu, Menteri Kewangan Rishi Sunak menyatakan pendapatnya berhubung data terbaru yang dikeluarkan dengan mnegatakan bahawa pertumbuhan ekonomi di jalan yang betul.