Selepas ini, blockchain Cardano (ADA) akan menyokong pasaran non-fungible token (NFT) dan dikhabarkan projek itu sedang cuba untuk mendapatkan beberapa pasaran utama untuk berpindah ke rangkaian itu.
Maklumat itu didedahkan sendiri oleh pengasasnya, Charles Hoskinson di akaun rasmi Twitternya, ketika pada masa yang sama Cardano bersedia dengan hard fork Alonzo tidak lama lagi.
Jelasnya lagi, setelah selesai dengan hard fork kali ini, mereka akan mula bekerja untuk NFT memandangkan pasaran tersebut berpotensi tinggi.
Sedia maklum NFT merupakan aset yang unik dengan metadata bagi memastikan ia tidak dapat diciplak, ditiru atau dicuri. 1 BTC bersamaan 1 BTC tetapi tidak bagi dua NFT yang sama.
Walaupun pasaran NFT boleh dikira sebagai satu kegilaan yang tidak masuk akal kerana tokennya mampu mencecah jutaan dolar. Pengasas Twitter, Jack Dorsey membuktikan tweet pertamanya berjaya dilelong pada $2.9 juta dan karya Beeple dilelong pada $69 juta, menjadi satu token seni termahal di abad ini.
Pasaran NFT majoritinya dibangunkan di rangkaian Ethereum. Bagaimanapun, Hoskinson yakin sebahagian daripadanya akan berpindah ke blockchain Cardano pada masa akan datang. Figura itu juga mendedahkan dia telah menghubungi beberapa pasaran utama untuk berunding.
Pada masa yang sama, Hoskinson menyifatkan program Project Catalyst sebagai organisasi autonomi desentralisasi (DAO) terbesar dunia.
Ia dilancarkan pada tahun lepas sebagai sebahagian daripada fasa kelima dan terakhir era Voltaire Cardano. Dikhabarkan ia berfungsi sebagai projek kawalan desentralisasi yang akan membiayai projek kripto.
Setakat ini, sudah ada enam pasaran memohon dana dengan projek tersebut. Projek lain berkaitan NFT juga dikatakan akan memanfaatkan DAO.