Karya NFT Dijual AS$69 Juta!

1,607

Rumah lelongan Christie’s menjual karya seni digital tulennya yang pertama bernilai AS$69 juta, sekali gus menjadi nilai paling tinggi yang dibayar untuk non-fungible token (NFT).

Karya berkenaan yang bertajuk sebagai ‘Everydays: The First 5000 Days’, dihasilkan oleh Mike Winkelmann atau lebih dikenali dengan nama Beeple.

Menurut NBC News, karya tersebut merupakan kolaj yang menghimpunkan 5,000 lukisan yang dimuat naik setiap hari sejak 13 tahun lalu.

Antara lukisan terbabit adalah bayi pertama Beeple, Hillary Clinton dan watak kartun popular.

Pemenang lelongan itu akan memiliki karya berkenaan dalam bentuk kod atau NFT. Karya itu tidak mempunyai sebarang bentuk fizikal dan akan dihantar secara terus kepada pembeli menerusi sistem blockchain.

NFT meraih populariti sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Penyanyi dan artis visual, Grimes berjaya menjual karya digitalnya sebanyak AS$6 juta bulan lalu manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Jack Dorsey melelong tweet pertamanya dalam bentuk NFT.

Lelongan oleh Dorsey kini mencecah AS$2.5 juta.

Noah Davis yang merupakan seorang pakar seni kontemporari dan pasca perang untuk Christie’s, adalah individu yang bertanggungjawab membawa karya Beeple ke rumah lelongan berkenaan selepas menyaksikan lonjakan populariti Beeple.

“Tempoh 10 minit pertama jualan, kami mempunyai lebih 100 bidaan. Kami membuka bidaan daripada AS$100 kepada lebih AS$1 juta.

” Kami mempunyai pembida dari tujuh negara yang berbeza,” kata Davis kepada Yahoo Finance.

Karya digital Beeple telah menarik lebih 1.8 juta pengikut di Instagram milik dan lelaki berkenaan berjaya menjalinkan kerjasama dengan Louis Vuitton, Katy Perry dan Nike.

Lelongan itu merupakan kali pertama Christie’s menerima matawang kripto sebagai bentuk pembayaran. Pembayaran dalam Ether perlu dibuat menerusi pemindahan dompet digital Ether kepada Christie’s.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat