Pasaran di awal minggu bergerak perlahan dijangka bersambung sehingga sesi Eropah pada petang ini sempena Easter Holiday sebelum pasaran sesi New York akan kembali stabil.
US dolar bergerak lemah pada pembukaan sesi pasaran Asia di permulaan dagangan awal minggu ini selepas pamerkan pengukuhan ketika laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) diterbitkan Jumaat lalu.
Menjadi tumpuan utama pada minggu lalu, laporan pekerjaan NFP menunjukkan pertambahan pekerjaan yang ketara meningkat untuk bulan Mac kepada 916,000 lebih tinggi berbanding jangkaan untuk meningkat kepada 652,000 sementara kadar pengangguran juga turut menurun.
Ini menunjukkan perkembangan baik di AS dengan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi telah mendorong syarikat-syarikat mula meningkatkan pengambilan pekerja pada bulan lalu.
Namun pelabur akan meneliti pergerakan US dolar di awal minggu ini sama ada mampu untuk meneruskan pengukuhan selepas bergerak lemah pada minggu lalu ekoran kejatuhan pada hasil perbendaharaan AS yang menyusut.
Data sektor perkhidmatan AS akan menjadi tumpuan di awal minggu sebelum perhatian diberikan kepada minit mesyuarat FOMC yang akan diterbitkan pada awal pagi Khamis.
Mata wang Eropah seperti Euro dan Pound masih lagi dilihat bergelut untuk mengukuh berbanding US dolar dengan pelabur memantau perkembangan penularan virus dan program vaksinasi di Eropah.
Dilaporkan lebih 5 juta rakyat UK telah menerima dos kedua vaksin melibatkan 10% populasi negara mereka dan faktor ini bakal mendorong kepada pemulihan ekonomi yang lebih pantas.
Sentimen pasaran yang dilihat pulih akan memberi tekanan semula kepada mata wang komoditi melibatkan dolar Australia dan New Zealand.