Walaupun Singapura sering jadi perbincangan hangat dalam kalanga penganalisis pasaran kripto berikutan isu kawal selianya, Houbi Global akhirnya tetap memilih negara itu sebagai ibu pejabat dalam rantau Asia. Selain itu, pertukaran kripto itu turut mempunyai rancangan untuk menubuhkan satu lagi ibu pejabat di Eropah.
Laporan ini dilaporkan oleh beberapa laman informasi kripto dengan memetik bahawa informasi tersebut datang dari pengasas bursa itu, Du Jun bahawa Singapura akan menjadi ibu pejabat baharu untuk syarikat itu kerana mereka tidak dapat meneruskan operasi di China. Penutupan ibu pejabat di China adalah rentetan dari langkah keras kerajaan China yang ingin mengharamkan sektor-sektor tertentu dalam kripto.
Harus diketahui bahawa sebelum ini Huobi mempunyai pejabat di Singapura namun bidang kuasanya adalah terbatas. Keputusan pada kali ini adalah untuk memindahkan semua asas operasi ke Singapura.
Du Jun menjelaskan lagi bahawa pertukaran itu sedang mencari ibu pejabat serantau di Eropah, yang mungkin berada di Perancis atau UK. Menariknya, Binance juga sedang mengkaji Perancis sebagai pilihan utama untuk ibu pejabat Binance.
Memilih Singapura sebagai ibu pejabat serantau adalah satu langkah yang mengejutkan daripada Huobi, memandangkan halangan pengawalseliaan baru-baru ini.
Terdahulu pada bulan November, syarikat itu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan perkhidmatan kepada pengguna yang berpangkalan di Singapura pada 31 Mac 2022 berikutan kerana halangan tersebut. Namun dengan keputusan ini, ia dilihat tidak lagi meneruskan hasrat tersebut.