Emas bangkit dari paras terendah 10 bulan dengan mendaki semula ke atas harga $1,700 per auns ketika jangkaan terhadap pelan rangsangan terbaru Amerika Syarikat meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi.
Presiden Joe Biden akhirnya melancarkan rancangan infrastruktur bernilai $2.25 trilion yang mana perbelanjaannya akan ditanggung dengan menaikkan cukai pendapatan korporat lebih tinggi.
Langkah-langkah rangsangan meningkatkan jangkaan inflasi lebih tinggi dan emas sering dianggap sebagai lindung nilai terhadapnya.
Dengan pelancaran pelan terbaru ini, ia mungkin akan memberi sokongan jangka pendek buat emas untuk meningkat.
Peningkatan semalaman juga turut disokong oleh penyusutan US dolar yang mungkin disebabkan pelabur mahu mengambil keuntungan sebelum berakhir sesi dagangan suku pertama tahun ini.
https://soundcloud.com/intradaydotmy/sis-fx-emas-naik-pulak-14-12-pm
Pada sesi Asia, emas diniagakan meningkat pada $1,713 per auns setelah melonjak lebih 300 pips seperti yang dapat dilihat pada carta harga XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding USD.
Walaupun dengan lonjakan yang dicatatkan pada saat-saat akhir, namun emas kekal mencatatkan kerugian sekitar 1% pada bulan Mac dan secara suku tahunan pula ia telah jatuh hampir 10%.
Pelbagai faktor telah menyumbang kepada penurunan harga emas secara mendadak pada suku pertama tahun ini seperti kenaikan hasil bon AS 10 tahun, peningkatan jangkaan pemulihan dan pasaran ekuiti yang kuat sehingga mendorong tiga indeks utama ke tahap tertinggi sepanjang masa pada suku ini.