Harga emas kembali susut selepas mencecah paras tertinggi 7 minggu pada sesi dagangan sebelum ini, didorong oleh hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang meningkat.
Penanda aras hasil bon AS 10 tahun menunjukkan peningkatan semula dan kembali berada pada paras 1.60% pada sesi Asia hari ini.
Kenaikan ini menyebabkan logam kuning emas susut dari puncak ketinggian $1,790, ke sekitar paras harga $1,770 per auns.
Walaupun hasil bon AS kembali meningkat, tetapi dagangan dolar greenback masih lagi mencatatkan penyusutan dan didagangkan lebih rendah berbanding kebanyakan matawang utama.
Harga emas telah menunjukkan kenaikan ketara sejak akhir minggu lalu susulan laporan yang mengatakan kerajaan China akan membenarkan bank tempatan dan asing untuk mengimport sejumlah besar logam berharga ke negara itu, di samping turut disokong oleh USD yang lemah.
Selain itu, permintaan pengguna untuk emas dari China juga dilaporkan semakin meningkat setelah jatuh ke tahap terendah sebelum ini.
China merupakan salah satu pengimport emas utama di dunia, selain India dan petunjuk peningkatan permintaan ini telah membantu kenaikan harga sebelum ini.