Greenback yang pada mulanya meraih keuntungan daripada kenaikan hasil perbendaharaan Amerika Syarikat, kembali mencatatkan penyusutan, menyebabkannya ditutup lemah pada sesi dagangan sebelum ini.
Pengerusi Federal Reserve, Jerome Powell mengulangi keterangan beliau di hadapan jawatankuasa Dewan Perwakilan dengan mengatakan bank pusat tidak akan mengubah dasar monetari semasa sehingga terdapat peningkatan jelas dalam ekonomi.
Tambah beliau lagi, inflasi kemungkinan akan tetap rendah dengan beberapa kenaikan sementara dan bank pusat akan menfokuskan untuk bergerak ke aras pekerjaan penuh.
Fed juga melihat pertumbuhan yang kuat pada separuh kedua dan pengangguran lebih rendah serta perniagaan yang ditutup ketika pandemik, akan dibuka semula dan kembali kepada normal.
Kenyataan Powell telah memacu kenaikan dalam pasaram saham AS, dengan indeks Dow Jones ditutup pada tahap tertinggi, sementara S&P 500 mengurangkan sebahagian daripada kerugian terbarunya.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama lain didagangkan rendah, berlegar di sekitar paras terendah hampir tiga tahun, pada 90.10.
Matawang komoditi terus mencatatkan ketinggian terbaru tiga tahun, didahului oleh dolar New Zealand yang mengukuh selepas keputusan kadar faedah Bank Pusat New Zealand pada Rabu.
Sementara itu, matawang pound mengurangkan sedikit keuntungannya yang diraih pada Rabu, tetapi masih didagangkan menguat di sekitar paras ketinggian hampir tiga tahun, sementara euro juga stabil pada tahap harga yang sama.