Pertukaran kripto, Coinbase dikhabarkan mahu menyokong matawang digital bank pusat (CBDC) dengan menyenaraikannya jika memenuhi standard yang diperlukan.
Kenyataan itu didedahkan sendiri oleh CEO Coinbase, Brian Armstrong dalam sesi Ask Me Anything di Reddit ketika firma itu menghitung hari sebelum penyenaraian Nasdaq pada April nanti.
Armstrong berpendapat CBDC akan mendapat sambutan tinggi dan negara-negara utama akan mula membuat kajian terperinci terhadap pembangunannya.
Ekoran daripada itu, Armstrong mahu Coinbase menjadi pertukaran kripto yang menyokong CBDC dan stablecoins termasuk DAI selagi ia memenuhi standard penyenaraian yang digariskan firma mereka.
Coinbase juga akan mempertimbangkan untuk menambah sistem kewangan digital yang dikuasakan oleh bank pusat .
Buat masa sekarang, bank pusat seluruh dunia masih bergiat aktif menjalankan kajian terhadap CBDC. Tidak keterlaluan untuk menyifatkan pembangunan CBDC sebagai satu tindak balas dunia terhadap perkembangan ekosistem stablecoin termasuk Diem yang diusahakan oleh Facebook.
Antara negara yang sudah mendahului ‘perlumbaan’ ini ialah China. Manakala, Bahamas sudah pun melancarkan CBDC yang dikenali sebagai Sand Dollar.
Sementara itu, Federal Reserve berdasarkan laporan yang dimuatkan team Intraday semalam sudah mula mengambil serius kepentingan CBDC untuk kegunaan masa akan datang.