Perdana Menteri UK, Boris Johnson semakin optimis bahawa sekatan coronavirus (lockdown) akan berakhir seperti yang dirancang sehingga 21 Jun setelah data awal menunjukkan bahawa varian India tidak merebak dengan cepat seperti yang ditakuti sebelum ini.
Kemasukan ke hospital dilihat stabil di beberapa tempat yang menjadi kawasan panas (hot spot), dan Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) juga tidak akan tertekan sekiranya berlaku penularan selepas sekatan berakhir pada bulan depan.
Walaupun beliau turut bimbang dengan varian baru dari India yang dikatakan lebih cepat merebak, tetapi Johnson tetap melihat ia tidak akan menjejaskan keputusan UK untuk keluar daripada lockdown ini.
Sentimen turut meningkat selepas penganalisis melihat tanda-tanda bahawa varian tersebut tidak mudah merebak berbanding varian yang dikesan di UK sebelum ini.
Bukan itu sahaja, malah, vaksin coronavirus yang digunakan sekarang adalah berkesan untuk melindungi daripada varian dari India itu.
Namun begitu, Menteri Kesihatan UK, Matt Hancock sebelum ini memberitahu bahawa masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa sekatan akan berakhir pada 21 Jun seperti yang sudah dirancangkan.
Tambah beliau lagi, kerajaan akan membuat keputusan pada 14 Jun setelah mengambilkira mengenai situasi Covid-19 semasa sama ada sekatan akan dilanjutkan atau diangkat sepenuhnya mengikut rancangan awal.