Walaupun hasil perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) catatkan peningkatan ke paras lebih tinggi, namun masih gagal untuk menyokong pengukuhan US dolar yang dilihat bergerak lemah bersambung sehingga ke sesi Asia pagi ini (Rabu).
Penganalisis melihat faktor yang mendorong penyusutan bagi mata wang US dolar adalah berikutan laporan undian Reuters terbaru melihatkan majoriti pakar ekonomi berpendapat bahawa Federal Reserve (Fed) akan menunggu sehingga tahun 2023 sebelum menaikkan kadar faedah.
Ini bermaksud Fed akan terus mengekalkan polisi yang longgar untuk tempoh yang lebih lama.
Laporan tersebut kembali mengekang kemaraan US dolar sebelum ini di mana jangkaan untuk pengetatan polisi melalui pengurangan pembelian bon (tapering) akan dilaksanakan seawal November ini.
Indeks saham global yang ditutup ‘hijau’ juga memberi isyarat sentimen pasaran yang semakin pulih sekaligus mengurangkan tarikan terhadap mata wang safe-haven termasuk US dolar.
Pada sesi New York semalam (Selasa), data perumahan AS untuk bulan September turut mencatatkan bacaan yang suram, menambahkan lagi jangkaan bahawa pertumbuhan ekonomi perlahan pada suku ketiga.
Mata wang Eropah memanfaatkan peluang untuk mengukuh berbanding US dolar dengan lonjakan semula nilai Euro selepas bergerak lemah pada awal minggu.
Manakala, Pound Sterling kekal kukuh meneruskan corak kenaikan harga sejak minggu lalu berikutan pelabur masih optimis terhadap langkah pengetatan polisi oleh Bank of England (BOE) melalui isyarat pada mesyuarat terbaru.
Mata wang komoditi dolar Australia dan dolar New Zealand turut paparkan prestasi cemerlang ekoran penyusutan US dolar untuk terus memburu kenaikan ke paras ketinggian terbaru pada carta harga.
Dolar Kanada juga berjaya memberi tekanan berbanding US dolar disokong oleh perkembangan positif pasaran minyak mentah global.
Sementara, dagangan emas masih lagi suram selepas menjunam dari paras $1,800 pada minggu lalu walaupun mencatatkan kenaikan awal pada Selasa semalam.