US dolar kembali menokok lebih tinggi pada permulaan sesi Eropah, di tengah sentimen pasaran yang bercampur-campur menjelang mesyuarat polisi FOMC.
Berbanding sekumpulan matawang utama, indeks dolar didagangkan meningkat pada 92.80, tidak jauh dari paras ketinggian 3 setengah bulan yang dicapainya minggu lalu.
Pasaran saham Asia didagangkan di lautan merah pada hari ini, terkesan dengan tindakan campur tangan China terhadap syarikat teknologi, terutamanya yang berada di sektor pendidikan.
Sentimen pasaran yang suram mempengaruhi pasaran secara meluas dan mendorong matawang US dolar safe-haven lebih tinggi.
Sebaliknya, pasaran saham AS, indeks S&P 500 mencecah paras tertinggi pada hari Isnin, di mana sebahagiannya disokong oleh laporan pendapatan Tesla yang lebih baik daripada jangkaan pada hari Isnin.
Pergerakan agresif dijangka akan berlaku padasesi New York nanti, di mana para pelabur akan diperlihatkan pula dengan laporan pendapatan dari Alphabet, Apple dan syarikat terkemuka lain.
Matawang euro gagal mengekalkan pengukuhan susulan kenaikan semula dolar greenback, menyebabkannya kembali terjatuh di bawah harga 1.18000.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand menjunam lebih rendah ditolak jatuh oleh US dolar, selain turut dihimpit oleh kebimbangan terhadap kes jangkitan coronaviruas yang terus menunjukkan peningkatan di Australia, terutamanya New South Wales.
Penerbitan data inflasi Australia untuk suku kedua akan menjadi tumpuan utama pasaran pada sesi Asia esok, yang dijangka akan menunjukkan peningkatan daripada bacaan sebelumnya.