Pengukuhan dolar greenback kembali ketika pasaran menuju dagangan penghujung minggu selepas susut rendah berikutan data ekonomi yang mendorong peningkatan dalam pasaran saham AS dan matawang utama.
Ekonomi Amerika Syarikat berkembang sebanyak 4% pada suku keempat 2020 tetapi kenaikan ini tidak cukup untuk mengelakkan ekonomi menyusut pada kadar terpantas dalam tempoh 70 tahun.
Dari tahun ke tahun, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS jatuh -3.5% pada tahun 2020, penurunan pertama sejak 2009 dan paling ketara sejak tahun 1946.
Namun begitu, dari sisi positif, ekonomi AS ditutup dalam keadaan baik pada tahun lalu. Walaupun terdapat sekatan coronavirus, ekonomi masih berkembang dalam 3 bulan terakhir dan kenaikan eksport, inventori dan pelaburan adalah tanda bahawa perniagaan mula kembali ke arah pemulihan.
Pengembangan yang ditunjukkan ini telah mendorong peningkatan dalam pasaran saham AS dan matawang utama pada sesi sebelum ini.
Matawang Asia, dolar Aussie dan New Zealand didagangkan stabil di tengah-tengah ketiadaan data utama yang boleh menjadi pemangkin buat kedua-dua matawang itu meningkat.
Sementara itu, matawang pound terus kukuh berbanding US dolar, disokong oleh pelancaran vaksin yang meluas di negara itu dan ini meningkatkan lagi prospek untuk pemulihan yang lebih cepat.
Dagangan euro pula terus bertahan di atas paras harga 1.2100 berbanding US dolar ketika pasaran menantikan data ekonomi dari Jerman pada petang ini. KDNK Jerman diramalkan menguncup pada suku keempat 2020.