Harga emas gagal mencatat kenaikan dengan jatuh lebih rendah meskipun dagangan US dolar memaparkan penyusutan pada awal sesi Eropah.
Kekangan ini berlaku disebabkan peningkatan kadar hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang kembali meningkat ke paras 1.70%.
Ini menyebabkan dagangan emas merosot rendah sehingga mencecah harga 1,725 per auns ketika sesi Eropah dibuka.
Hasil perbendaharaan AS meningkat setelah lelongan bon kerajaan 3 dan 10 tahun yang berlaku pada sesi New York sebelum ini.
Peningkatan sama juga dijangka akan dilihat memandangkan lelongan bon 30 tahun juga akan diadakan pada hari ini.
Sementara US dolar pula sedikit susut, namun kekal didagangkan stabil di sekitar harga 92.23 berbanding kebanyakan matawang utama.
Dalam pada itu, tumpuan utama pasaran kini terarah kepada penerbitan data inflasi AS yang dijangka mencatat kenaikan lebih besar pada bulan Mac yang didorong oleh pelancaran vaksin dan pakej rangsangan.
Ia bukan sahaja menjadi tumpuan pasaran, bahkan bakal turut diperhatikan oleh Federal Reserve (Fed) yang sebelum ini telah membuka peluang untuk kadar inflasi meningkat lebih tinggi sementara ekonomi pulih dari wabak Covid-19.