Menuju pembukaan sesi New York, pelabur kekal mengukuhkan pegangan terhadap mata wang gergasi US dolar dengan tumpuan utama pasaran difokuskan kepada penerbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi nanti.
Susulan kejatuhan mendadak pasaran mata wang pada Selasa, pasaran terus mengelak daripada mengambil risiko yang menyaksikan dagangan mata wang utama kekal lemah di paras terendah.
Laporan mengenai China melancarkan satu lagi ujian besar-besaran di Shanghai dan bandar Xi yang melaksanakan langkah kawalan sementara selama tujuh hari, turut dilihat mempengaruhi sentimen.
Mata wang euro terus merosot ke paras terendah terbaharu sejak Disember 2002, ditekan oleh prospek menyuramkan terhadap ekonomi Eropah ekoran krisis tenaga yang semakin meningkat.
Pound pula melemah ke paras terendah lebih dua tahun ketika Perdana Menteri Boris Johnson bergelut mempertahankan pimpinannya di UK selepas lebih banyak ahli kabinetnya meletakkan jawatan susulan pengunduran Menteri Kewangan Rishi Sunak dan Setiausaha Kesihatan Sajid Javid.
Minit mesyuarat FOMC akan menjadi tumpuan pasaran pada hari ini bagi mendapatkan petunjuk selanjutnya mengenai tindakan yang bakal diambil Federal Reserve (Fed) selepas menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas pada bulan Jun.
Selain itu, pengeluaran data PMI perkhidmatan ISM juga akan diteliti untuk dijadikan panduan menjelang terbitan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada Jumaat.