Pengukuhan dolar Kanada akhirnya goyah selepas terkesan dengan dagangan dolar Amerika yang lebih kuat menjelang penerbitan data pekerjaan Kanada.
Sepanjang minggu ini, dolar loonie telah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan meskipun mata wang utama lain menyusut susulan pengukuhan US dolar.
Bagaimanapun, mata wang itu mula mengalah dengan kekuatan dolar greenback ketika pasaran menuju penghujung minggu selain turut terkesan dengan dagangan minyak mentah yang berhenti daripada meneruskan kenaikan.
Pada sesi Asia, loonie didagangkan di sekitar paras terendah stau minggu pada 1.2695 berbanding US dolar selepas merosot 1.1% pada sesi sebelumnya. Penurunan ini juga adalah yang terbesar dicatatkan dolar loonie sejak Ogos 2021.
Selain data inflasi AS, pelabur juga akan diperlihatkan dengan pengeluaran laporan pekerjaan Kanada yang dijangka terus menunjukkan pengukuhan dalam pasaran buruh pada bulan Mei.
Bank Pusat Kanada (BOC) adalah antara bank pusat utama yang maju ke hadapan dalam mengetatkan dasar, di mana ia telah menaikkan kadar faedah sebanyak 3 kali kepada 1.50% setakat ini.
Gabenor Tiff Macklem memberitahu bahawa data inflasi akan menentukan berapa cepat kadar faedah Kanada akan dinaikkan, memberi petanda bahawa bank pusat itu akan meneruskan pengetatan lebih lanjut.