Pasaran memulakan dagangan awal minggu dengan bergerak tenang setelah menempuh ‘tsunami’ besar pada minggu lalu.
US dolar sedikit susut pada awal pembukaan sesi Asia dengan indeks dolar didagangkan 0.2% lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada 104.56.
Meskipun begitu, raja mata wang itu dilihat masih didagangkan lebih tinggi susulan keuntungan yang diraih minggu lalu apabila Federal Reserve (Fed) menawarkan kenyataan berbaur hawkish.
Pengerusi Jerome Powell memberi isyarat bahawa kadar faedah akan terus dinaikkan pada tahun depan bagi memastikan inflasi berada di landasan yang betul untuk ke sasaran 2% bank pusat.
Turut memberikan pandangan sama seperti Fed adalah Bank Pusat Eropah (ECB) yang menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dengan indikasi jelas bahawa ia masih belum selesai dalam melaksanakan pengetatan.
Namun, penguncupan dalam data PMI pembuatan dan perkhidmatan dari Eropah dan Amerika Syarikat yang diterbitkan pada Jumaat sedikit mengecewakan pelabur serta menguatkan jangkaan untuk kemelesetan akan datang.
Euro dan pound didagangkan stabil setelah mencatatkan kerugian pada minggu lalu susulan data yang menyuramkan.
Melihat ke hadapan, mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) pada Selasa bakal menjadi tumpuan pelabur minggu ini, lebih-lebih lagi kerajaan Jepun dikatakan akan menyemak penyata bersama bank pusat mengenai sasaran inflasi mereka.
Ia dilihat berpotensi untuk membuka jalan kepada perubahan dalam dasar monetari yang sangat longgar BOJ. Ekoran itu, yen didagangkan meningkat pada pembukaan sesi Asia hari ini.