‘Wabak ini dah jadi ancaman global. Harapnya tak cetus panik seteruk Covid-19.’
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet (monkeypox) sebagai kecemasan kesihatan awam peringkat antarabangsa.
Pengisytiharan yang jarang dibuat tersebut telah diumumkan oleh Ketua Pengarah, Tedros Adhanom Ghebreyesus sebagai tindak balas antarabangsa yang diselaraskan bagi mencegah virus daripada merebak dan berpotensi menjadi pandemik.
Ia dibuat rentetan daripada peningkatan kes jangkitan yang mendadak dalam beberapa minggu lalu dan selepas agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan ia bukan kecemasan global.
Sebagai makluman, kecemasan kesihatan global merupakan pengisytiharan tertinggi yang memerlukan jawatankuasa menimbang bukti dan mendapatkan cadangan ketua pengarah.
Selain itu, pengisytiharan tersebut berfungsi sebagai seruan untuk segera bertindak (gesaan) dan bukannya keperluan kepada kerajaan negara (mandat).
Mengulas mengenai pengisytiharan tersebut, Tedros berkata bahawa peningkatan mendadak wabak monkeypox melalui mod transmisi baharu telah memaksa WHO mencapai keputusan tersebut.
Tambahnya lagi, terdapat kira-kira 16,000 kes dilaporkan di 70 buah negara dan angka positif meningkat 77% dari akhir Jun ke awal Julai selain mencatat 5 kematian setakat ini.
Maka, tidak hairan keputusan tersebut dicapai oleh jawatankuasa WHO dan Tedros mengumumkan pengisytiharan tersebut sebelum keadaan bertambah buruk seperti keadaan ketika Covid-19.
Umumnya, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mewartakan jangkitan di rantau Amerika Utara dan Eropah sedang meningkat dengan pantas pada kadar yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Dikatakan juga bahawa transmisi kulit ke kulit, sentuhan langsung terhadap ruam atau luka, adalah punca peningkatan jangkitan selain hubungan sejenis membawa risiko terbesar kepada penyebaran.
Sementara itu, WHO turut mengatakan bahawa orang awam tidak perlu khuatir kerana monkeypox bukan virus baharu dan sudah memiliki vaksinnya.