Matawang pound dan hasil bon kerajaan Britain jatuh dengan mendadak pada hari Khamis selepas Bank of England menaikkan kadar faedah ke paras tertinggi sejak 2009 tetapi memberi amaran bahawa ekonomi menghadapi risiko kemelesetan.
Ketika penulisan, matawang sterling menyusut hampir 2% berbanding US dolar kepada paras dagangan 1.2395 iaitu paras terendahnya sejak Julai 2020. Ia dijangka mencatat kejatuhan terbesar harian sejak Mac 2020 iaitu ketika wabak Covid-19 melanda pasaran dunia. Bukan itu sahaja, matawang pound juga sust sebanyak 1.3% berbanding euro ke paras terendah sejak Disember 2021 pada paras dagangan 85.04 pence.
BoE mengekalkan ramalannya untuk pertumbuhan ekonomi tahun ini pada 3.75%, tetapi mengurangkan ramalannya untuk tahun 2023 dengan penguncupan sebanyak 0.25 daripada anggaran pertumbuhan 1.25% sebelumnya. Bukan itu sahaja, BoE juga mengurangkan unjuran pertumbuhannya untuk tahun 2024 kepada 0.25% daripada 1.0% sebelumnya.
Chris Scicluna, ketua penyelidikan ekonomi di Daiwa Capital Markets berpendapat bahawa kelemahan prospek pertumbuhan bermakna prospek inflasi juga agak lemah.
Dalam masa yang sama, para penggubal polisi BoE juga tidak sependapat kerana ada yang berpandangan bahawa panduan yang ditetapkan BoE adalah sukar untuk dicapai dengan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi semakin buruk. Dua ahli BoE berpandangan bahawa kenaikan selanjutnya adalah tidak sesuai.
Selain Bank Pusat England, beberapa bank pusat lain seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia semuanya telah mengambil keputusan untuk menaikkan kadar faedah pada minggu ini.
Inflasi yang membimbangkan juga telah mendorong Iceland menaikkan kadar sebanyak satu mata peratusan pada hari Rabu. Namun ada perbankan yang merakamkan kebimbangan yang sama seperti BoE iaitu kembimbangan ekonomi negara akan menuju kemelesetan.
Indeks US dolar yang mengukur matawang US dolar berbanding enam matawang utama didagangkan kukuh sebanyak 0.70% kepada paras dagangan 103.308.