Pengawal selia tenaga Britain mengumumkan pada hari Jumaat bahawa had harga tenaga tahunan di UK akan meningkat kepada £3,549 (RM18,700) mulai 1 Oktober.
Pejabat Gas dan Elektrik (Ofgem), berkata ini bermakna England, Wales dan Scotland yang menggunakan jumlah tenaga biasa terpaksa menanggung kos £300 (RM1,580) setiap bulan.
Bil tahunan semasa ialah £1,971 (RM10,387) setahun. Ramalan baharu mencadangkan ia boleh memuncak lebih £6,000 (RM31,600) setahun pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ofgem, Jonathan Brearley mengakui bahawa kenaikan tersebut akan menghancurkan banyak keluarga.
Beliau juga menyalahkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah punca kepada kesukaran yang ditanggung isi rumah, perniagaan dan ekonomi UK.
Tambahnya lagi, perdana menteri baharu yang akan dipilih pada 5 September perlu bertindak segera untuk menangani kesan kenaikan harga yang akan datang.
Setakat ini kerajaan telah menjanjikan pakej sokongan £15 bilion untuk isi rumah, termasuk dua pembayaran berjumlah £650 untuk lapan juta isi rumah berpendapatan rendah atas faedah dan geran £400 untuk semua rumah.
Siapa sahaja yang akan menjadi perdana menteri UK, Liz Truss atau Rishi Sunak pastinya berdepan cabaran besar untuk menangani krisis tenaga yang semakin menekan rakyat di negara itu.