Prestasi Cardano (ADA) mengatasi kebanyakan altcoins pada minggu terakhir bulan Mei dan ini mungkin didorong oleh keterujaan pelabur terhadap pelancaran hard fork Vasil.
Vasil, yang dijadualkan untuk pelancaran pada 29 Jun dikatakan akan menambah baik penskalaan dengan memperkenalkan ‘pipelining‘ yang akan meningkatkan penyebaran blok.
Walaupun penskalaan adalah salah satu penambahbaikan, aspek lain yang akan melihat peningkatan ketara ialah bahasa kontrak pintar Plutus untuk pembangun aplikasi desentralisasi (dApps) dan mengurangkan kelewatan penghantaran blok.
Penambahbaikan besar terakhir untuk Cardano adalah hard fork Alonzo, yang telah digunakan pada 12 September 2021.
Walaupun kemas kini ini menambah fungsi kontrak pintar, namun harga tidak mempamerkan reaksi yang begitu ketara.
Persoalannya kini adakah Cardano akan menunjukkan tindak balas yang sama semasa pelancaran Vasil pada akhir bulan ini?
Ketika penulisan, ADA didagangkan stabil pada $0.58 setelah diheret jatuh bersama-sama Bitcoin (BTC) yang kini merosot pada $29,600.