‘Adakah ini bermaksud setiap kali jumpa varian baru setiap kali tu kena cucuk?’
Vaksin Covid-19 khas untuk menentang varian virus coronavirus, Omicron dikatakan telah mendapat kelulusan untuk percubaan klinikal di Hong Kong, China.
Kenyataan tersebut telah disahkan oleh anak syarikat pembuat vaksin Sinopharm, China National Biotec Group (CNBG) dan syarikat vaksin, Sinovac Biotech yang menyatakan vaksin baru tersebut mengandungi virus tidak aktif (mati), sama seperti kebanyakan vaksin lain yang diagihkan ke seluruh dunia.
Terang CNBG, vaksin terbaharu tersebut akan diuji sebagai dos penggalak (boosters) terhadap individu dewasa yang sudah menerima suntikan ke-2 atau ke-3.
Namun, syarikat China itu tidak menyatakan secara jelas mengenai produk vaksin mana yang akan digunakan dalam ujian klinikal tersebut ataupun melampirkan bilangan subjek yang akan disertai.
Sementara itu, Sinovac menyatakan bahawa syarikat itu akan terus berusaha mengkaji vaksin CoronaVac sedia ada dalam menghasilkan antibodi terbaik untuk kemunculan varian baru.
Sebelum ini, satu kajian di China mendapati dos ke-4 vaksin BBIBP milik Sinopharm tidak membantu dalam meningkatkan antibodi yang mampu melawan Omicron apabila diberikan 6 bulan selepas dos penggalak ke-3 kepada rejimen 2 dos biasa.
Sungguhpun dos ke-4 mampu mengembalikan tahap antibodi ke sekitar puncak selpas dos ke-3, para penyelidik menyatakan vaksin baharu tersebut akan menawarkan alternatif yang lebih baik sebagai penggalak di masa hadapan.
Umumnya, sainstis diseluruh dunia sedang giat menjalankan kajian dan usaha menaik taraf vaksin sedia ada bagi menentang varian-varian baru muncul seperti Omicron dengan data menunjukkan bahawa vaksin berdasarkan strain yang lebih tua gagal meneutralkan varian yang mudah menular.