Pegawai tertinggi Rusia dan Ukraine akan mengadakan pertemuan pada hari Khamis di Turki, yang bakal menjadi rundingan berpotensi pertama antara kedua-dua negara sejak Moscow menyerang Kiev pada 24 Februari.
Diplomat tertinggi Turki, Mevlut Cavusoglu mengumumkan perkara tersebut pada Isnin dalam satu ciapan di laman twitternya, dengan menyatakan harapan beliau bahawa pertemuan ini akan membawa kepada perubahan.
Pertemuan tersebut akan melibatkan rundingan antara Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov dan Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba di Antalya, selatan Turki.
Terdahulu, Turki yang juga merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah berulang kali menawarkan untuk menjadi pengantara antara kedua-dua pihak.
Turki menyifatkan tindakan Rusia terhadap Ukraine sebagai tidak boleh diterima meskipun ia pada hakikatnya menentang sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Moscow oleh negara-negara Barat.
Cavusoglu berkata bahawa dalam panggilan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin pada hari Ahad, Presiden Turki Tayyip Erdogan telah mengulangi tawaran Ankara untuk menjadi tuan rumah kepada pertemuan itu, yang kemudiannya diterima oleh Lavrov.
Bercakap kepada agensi berita Reuters, Cavusoglu meluahkan harapan Turki bahawa pertemuan ini akan membawa kepada titik perubahan dan satu langkah penting ke arah keamanan dan kestabilan, selain turut menambah bahawa kedua-dua menteri telah meminta beliau menyertai mesyuarat itu.