Emas kembali berundur susulan kebangkitan semula US dolar dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun, meletakkan logam berharga itu di landasan untuk kerugian bulanan kedua berturut-turut buat pertama kali sejak Mac 2021.
Menjelang dagangan akhir Mei, harga emas terus berlegar pada sekitar paras sokongan harga $1,850 per auns setelah berulang kali mencuba untuk maju lebih tinggi.
Lonjakan semula US dolar dan hasil bon yang lebih kukuh pada sesi Asia, telah membataskan pergerakan harga emas.
Namun, risiko terbaharu yang muncul daripada sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Rusia sedikit sebanyak membantu mengekang kejatuhan emas lebih jauh.
Berikutan kebergantungan EU yang tinggi kepada import minyak Rusia, langkah ini boleh memberi impak besar kepada ekonomi Zon Eropah yang sudah sedia bergelut dengan kenaikan inflasi yang tinggi.
Menyingkap kembali prestasi dagangan emas pada bulan Mei, permulaan kitaran pengetatan oleh Federal Reserve (Fed) telah mendorong kemerosotan logam kuning ke paras terendah tiga bulan.
Keputusan untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dan janji Fed untuk lebih agresif juga memacu lonjakan raja mata wang US dolar untuk mencecah paras tertinggi 20 tahun.