Emas terbenam ke paras terendah satu minggu selepas terkesan dengan ungkapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell bahawa kadar faedah akan dinaikkan tidak lama lagi.
Pada sesi Asia, spot emas didagangkan suram pada $1,816 per auns, junam lebih jauh dari paras tertinggi 9 minggu yang dicapainya pada sesi dagangan Selasa, $1,853 per auns.
Logam kuning itu sebelum ini telah mendapat sokongan sebagai safe-haven berikutan kebimbangan pasaran terhadap ketegangan geopolitik Ukraine-Rusia yang telah melibatkan banyak kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.
Selain itu, tekanan kenaikan harga yang berterusan turut menyokong emas untuk meningkat lebih tinggi disebabkan peranannya sebagai lindung nilai kepada inflasi.
Bagaimanapun, bagi menangani inflasi yang semakin tinggi, ia telah mencetuskan tindakan pengetatan oleh bank pusat utama.
Terbaharu, Fed memberi petunjuk mengenai kenaikan kadar faedah akan dilakukan selepas program pembelian bon bulanannya berakhir pada bulan Mac dan bersedia untuk bertindak lebih pantas bagi memerangi inflasi.
Kenyataan Fed turut merangsang kebangkitan hasil perbendaharaan AS 10 tahun untuk kembali meningkat ke paras tertinggi dua tahun dan memacu lonjakan US dolar.