‘Cerita Terminator bakal jadi kenyataan? Perang mesin semakin jadi realiti.’
Era pasca Covid-19 bakal menyaksikan perubahan ketara dalam pasaran buruh Singapura apabila negara tersebut dilihat menggantikan tenaga manusia dengan mesin (robot).
Negara yang bergantung kepada tenaga buruh asing tersebut dilihat ‘mengadaptasi teknologi lebih pantas‘ selepas jumlah kemasukan pekerja menurun 235,700 di antara Disember 2019 dan September 2021.
Perkara ini dapat dilihat oleh penggunaan robot berkaki empat yang dipanggil ‘Spot‘ ciptaan syarikat dari Amerika Syarikat (AS) Boston Dynamics, yang digunakan firma pembinaan Singapura iaitu Gammon.
Terang pengurus besar Gammon, Michael O’Connell, Spot yang digunakan untuk mengimbas bahagian lumpur dan kerikil dalam memeriksa kemajuan kerja, telah berjaya mengurangkan kerja yang selama ini memerlukan 2 orang.
Selain itu, Perpustakaan Negara Singapura juga dilihat menggunakan 2 robot rak membaca yang boleh mengimbas label pada 100,000 buah buku atau 30% sehari.
Lee Yeen Fuang, penolong pengarah Perpustakaan Negara Singapura menyatakan bahawa penggunaan robot tersebut telah mengurangkan aspek rutin dan intensif buruh.
Integrasi mesin dalam kehidupan yang paling hebat di Singapura setakat ini adalah robot barista ciptaan Crown Digital yang berjaya menyelesaikan ‘titik kelemahan terbesar‘ dalam industri makanan dan minuman iaitu pengambilan pekerja.
Ijmalnya, Singapura berada dalam landasan terbaik untuk mengintegrasikan mesin dalam kehidupan seharian dengan negara itu kini memiliki 605 buah robot dipasang bagi setiap 10,000 pekerja dalam industri pembuatan, hanya satu ranking dibelakang Korea Selatan yang memiliki 932 robot yang digunakan dalam industrinya pada 2021.
Sungguh pun begitu, penggunaan robot tidak sehalus sentuhan manusia dan pasti ada di antara kita yang tidak selesa berinteraksi dengan mesin tidak bernyawa.