‘Nasib pemegang aset kripto akan terbela?’
Baru-baru ini pasaran kripto mengalami kejatuhan ‘dahsyat‘. Insiden Terra (LUNA) dan TerraUSD (UST) sudah cukup untuk membuatkan lutut para pelabur goyang.
Ekoran daripada itu, gabenor bank pusat dan menteri kewangan Group 7 (G7) telah menggesa supaya mewujudkan rangka kerja penyeliaan aset kripto global.
Disebabkan itu beliau berharap aset kripto dapat dikawal, diawasi, dan saling beroperasi secara konsisten, bersesuaian bagi seluruh bidang kuasa.
Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat G7 di Jerman pada minggu ini.
Dalam pada itu, tindakan G7 dilihat berbeza dengan keputusannya pada 14 Oktober 2021. Ketika itu, G7 membenarkan penubuhan mata wang digital bank pusat (CBDC) walaupun bersyarat.
Tindakan ini mencerminkan kebimbangan G7 terhadap pasaran kripto yang tidak menentu kerana bergantung kepada spekulasi pasaran meluas.
Selain itu, apa yang dibimbangkan oleh G7 ini selari dengan kelantangan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen yang mahukan polisi stablecoin segera diperkenalkan seawalnya pada hujung 2022.
Terbaharu, pengerusi Securities and Exchange Commission (SEC) Amerika Syarikat (AS), Gary Gensler turut memberi amaran mengenai lebih banyak kejatuhan dalam pasaran kripto di masa hadapan.