Gabenor Bank of England (BOE), Andrew Bailey mempertahankan keputusannya untuk meningkatkan kadar faedah dengan mengatakan risiko sebenar kenaikan harga telah ‘berakar umbi’.
Dalam wawancara bersama program BBC Radio 4 Today, Bailey mengatakan mereka bertindak berikutan inflasi yang berterusan dan ia tidak turun seperti dijangkakan.
Beliau juga meluahkan kebimbangan terhadap inflasi UK yang meningkat kerana syarikat berdepan masalah untuk mengupah pekerja yang diperlukan sehingga mendorong mereka menaikkan harga.
Kenyataan tersebut secara tidak langsung membantu menjelaskan mengapa bank pusat UK meningkatkan kadar faedah pada mesyuarat polisi semalam.
Kadar faedah telah dinaikkan kepada 1.75%, peningkatan tertinggi dalam 27 tahun di mana inflasi kini dijangka mencecah lebih 13%.
Unjuran pertumbuhan ekonomi UK diturunkan pada tahun ini dengan kemerosotan terpanjang diramalkan sejak 2008.
Kenaikan kadar faedah adalah satu cara untuk mengaal inflasi kerana ia meningkatkan kos pinjaman.
Ini akan menggalakkan isi rumah mengurangkan perbelanjaan dan pinjaman, di samping turut mendorong rakyat untuk menyimpan lebih banyak.
Bagaimanapun, isi rumah akan semakin terhimpit susulan peningkatan kadar faedah termasuk beberapa pemegang gadai janji.