Memasuki sesi Eropah, US dolar sedikit memperlahankan kemaraannya dengan diniagakan sedikit susut dari puncak tertinggi terbaru 20 tahun yang dicapainya pada awal sesi Asia.
Ini sedikit sebanyak memberi ruang buat kebanyakan mata wang utama lain untuk kembali bernafas selepas ditekan jauh ke dasar ‘lautan’.
Bagaimanapun, raja mata wang itu masih mengukuh dengan sokongan daripada bacaan data PMI perkhidmatan ISM Amerika Syarikat yang menunjukkan ekonomi negara itu tidak berada dalam kemelesetan.
Menjadi tumpuan pelabur pada sesi ini adalah perbicaraan dasar monetari Bank of England (BOE) di mana gabenor dan beberapa penggubal dasar akan memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perbendaharaan Parlimen.
Mata wang pound didagangkan stabil menjelang perbicaraan tersebut, manakala euro pula sedikit meningkat dari tahap terlemah 20 tahun yang dicatatnya pada Selasa.
Sementara itu, dolar Aussie susut ke paras terendah 2 bulan walaupun data pertumbuhan Australia menunjukkan ekonomi berkembang kukuh pada suku kedua 2022.
Mata wang antipodean itu juga gagal memanfaatkan keputusan Reserve Bank of Australia (RBA) yang telah meningkatkan kadar faedah ke tahap tertinggi 7 tahun pada mesyuarat polisi September.
Dalam pada itu, mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) yang akan berlangsung pada sesi New York kini menjadi tumpuan pasaran yang dijangka akan menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas.
Jangkaan tersebut bagaimanapun gagal mengangkat dolar Kanada yang terus diniagakan melemah pada paras terlemah 2 bulan berbanding US dolar.