Kemaraan inflasi UK semakin tidak dapat dibendung selepas ia sekali lagi memecah rekod dengan melonjak ke paras tertinggi 40 tahun pada bulan April.
Walaupun sedikit tersasar daripada jangkaan untuk meningkat 9.1%, tetapi kenaikan 9% dalam indeks harga pengguna (CPI) tahunan UK cukup menambahkan lagi tekanan buat Bank Pusat England (BOE).
Angka yang dicatatkan ini juga meningkat daripada peningkatan yang dicatatkan 7.0% pada bulan Mac.
Menurut laporan yang dikeluarkan Pejabat Perangkaan Nasional (ONS), lonjakan ini didorong oleh kenaikan harga makanan, elektrik, gas dan bahan api lain, serta kereta terpakai.
Kenaikan ini juga lebih daripada dua kali ganda kadar pertumbuhan gaji asas, sekali gus menekan kuasa perbelanjaan pengguna. Tekanan ini dijangka bertambah buruk dengan BOE meramalkan inflasi akan mencecah dua digit menjelang Oktober berikutan bil tenaga yang tinggi.
Lonjakan inflasi turut menunjukkan bahawa BOE menghadapi kesukaran untuk mengimbangi tindakannya untuk menaikkan kadar faedah dalam mengekang inflasi tetapi pada masa sama berdepan risiko kemelesetan semakin meningkat.
Susulan dari bacaan yang lebih rendah daripada jangkaan ini, pound menunjukkan penyusutan dari paras tertinggi satu minggu berbanding US dolar.